Asal Usul Kg Imam Lapar, Kuala Berang
Benarkah ada peristiwa berlakunya kejadian imam yang lapar di Terengganu sehingga memungkinkan satu tempat diperuntukkan dengan kejadian berkenaan?
Apa yang pasti, nama Kampung (Kg) Imam Lapar di Mukim Telemong, Kuala Berang, memang wujud dan menjadi tanda tanya terutama bagi orang luar dari kampung itu dan luar Terengganu kerana nama kampung itu seperti benar-benar menggambarkan sejarah kampung itu mempunyai imam yang hidupnya sentiasa dalam kelaparan.
Kampung Imam Lapar terletak kira-kira 23 kilometer dari Kuala Terengganu dan kira-kira 22 kilometer dari Kuala Berang. Lokasinya juga tidak sukar untuk dicari kerana terletak di tepi jalan utama antara Kampung Besah dan Kampung Kuala Telemong.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu, Samad Rani, berkata ia bermula dengan kisah dua pedagang, mereka menaiki perahu dari muka Kuala Sungai Telemong menyusuri sungai itu untuk mudik ke hulu dengan membawa barangan seperti beras dan ikan masin untuk dijual kepada penduduk kampung di sepanjang tebing sungai itu.
Katanya, setibanya di kampung itu yang ketika itu tiada nama, mereka berdua singgah di Pengkalan Rengas Sembilan dan menaiki tebing untuk mencari makanan kerana lapar.
“Pedagang itu ke surau yang terletak di tepi tebing pengkalan berkenaan untuk mencari rumah bagi mendapatkan makanan dan api, tetapi mendapati imam sedang khusyuk menghafaz al-Quran.
“Mereka dikatakan sempat menyatakan kepada imam bahawa mereka lapar sebelum beredar kembali menaiki perahu menyusuri sungai itu. Mungkin imam tidak sedar ada orang datang dan memberitahu imam, dia lapar kerana khusyuk membaca al-Quran ketika itu,” katanya.
Menurutnya, bagaimanapun, akibat terlalu lapar, dua pedagang itu dikatakan singgah pula di satu lagi jeti dan ke surau yang terbukti surau sama. Imam itu masih lagi menghafaz al-Quran, lalu mereka terus beredar.
“Kemungkinan peristiwa itu diceritakan oleh pedagang itu kepada orang lain bahawa dia memberitahu imam, lapar tetapi imam itu terus ‘laper’ (menghafaz) al-Quran.
“Jadi, dari situlah kemungkinan itulah asal usulnya nama Kampung Imam Lapar ini. Yang pasti bukan imam itu yang lapar, tetapi pedagang itu yang lapar. Sukar dipastikan sejauh mana benarnya cerita itu saya dengar cerita ini daripada arwah bapa,” katanya yang mendakwa kisah itu berlaku lebih 100 tahun lalu.
http://teganukita.my/asal-usul-kg-im...-kuala-berang/